reallifegoeslikethis
Saya ini PelangiSaya ini pelangi.
Pernah tengok pelangi? Ya, pelangi yang lawa itulah. Pelangi yang awak puji indah, yang awak puja-puji itu. Pelangi yang warnanya tujuh semua sekali, yang walau nampak samar-samar saja namun buat awak senyum lebar hingga ke pipi.
Dan sayalah pelangi itu. "Kenapa?" awak tanya? :)
...........
Pelangi memang cantik. Semua pun suka tengok dia. Tapi siapa suka hujan lebat-lebat? Siapa pula suka panas yang terik-terik? Sayalah pelangi itu. Pelangi yang timbul waktu hujan baru lebat-lebat dan matahari belajar terik-terik.
Saya ini pengacaulah. Kalau tak ada hujan yang lebat, manalah awak boleh nampak saya. Kerana lebatnya hujan, basahnya bumi, maka saya pun timbullah. Tapi itu saja tak cukup. Kalau hujan itu dah cukup sejuk, dah cukup nyaman, saya takkan kelihatan. Mesti ada terik juga.
Waktu awak belajar mahu redha pada sejuknya hujan, maka waktu itulah mentari akan muncul dan bersinar terang-terang. Eh, macam tidak puas hati pula dia. Tak bolehkah dunia ini sejuk-sejuk dan senyi-sepi saja?
"Aku datang bawa sinar baru" kata mentari. Awak keliru. Yakah? Mahu bawa cahaya harapan atau bawa panas terik menyeksakan? Masa keliru itulah, masa nak pilih-pilih, timbang-timbang itulah saya akan muncul.
Kan saya sudah bilang, saya ini pengacaulah.
.............
Tiada hujan hati yang lebat, tanpa harapan yang baru nak bersinar, awak takkan nampak saya. Sayalah pelangi itu. Timbul waktu kacau. Waktu awak tergapai-gapai. Lalu awak nampak cahaya tujuh warna berkilai-kilau dan terpesona. Kerana hujan hanya punya satu warna: hitam. Dan mentari membawa cahaya yang terlalu terang.
Saya ini warna-warni. Jadi saya ini menarik hati. Saya terus bawa pesona pada yang melihat dan buatkan mereka ingin memiliki.
Eh, eh, ingat, saya ini pelangi.
...............
Saya ini pelangi. Saya muncul waktu hujan mahu pergi dan mentari menjengah diri. Saya takkan ada lama-lama kerna waktu matahari jumpa sama hujan hanya sebentar. Kerana itulah saya istimewa.
Sebab awak tak boleh jumpa saya lama-lama :)
Kalian boleh kejar pelangi. Awak boleh ke kaki gunung atau boleh ke hujung langit. Moga-moga jumpalah saya di sana. Tapi saya nasihatkan usahlah percaya; kerana tiada tempayan emas di sana, apatah lagi asalnya saya.
Kata orang tua " Jangan tunjuk pelangi, nanti kudung jari". Kudungkah? Tanyalah sama saya, kan saya ini pelangi :)
Tak. Takkan kudung jari. Tapi yang awak tunjuk itu, pelangikah?
...........
Saya ini pelangi. Saya di mana-mana. Saya ada waktu hujan mahu jumpa mentari. Siapa-siapa akan tersenyum apabila nampak saya, tapi tiada siapa tahu saya di mana. Saya bukan di situ atau di sana. Saya ini biasan cahaya. Yang mahu lihat saya, akan nampak.
Saya cuma ada satu kerja: bawa ketawa pada yang bersedih, senyum pada bibir yang menjuih. Tapi ingat: saya bukan milik sesiapa.
Kerana saya ini pelangi. Awak mencari saya di kaki gunung ini, saya mewah tersenyum di kaki langit sana.